Monday, January 2, 2012

MUTHI'AH WANITA TERBAIK

Siapakah Muthi'ah??
Sebenarnya wanita inilah yang pertama akan masuk syurga sebelum Sayyidatuna Fatimah binti Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Dalam sebuah hadis menceritakan, setengah daripada kegemaran Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam ialah suka bergurau yang sopan untuk memberi pengajaran.
Suatu hari ketika Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam sedang melayani puteri kesayangannya Sayyidatuna Fatimah, Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda, "Wahai anakandaku ! Ketahuilah olehmu bahawa ada seorang perempuan kebanyakan akan masuk syurga terlebih dahulu daripadamu."
Mendengar kata-kata ayahandanya ini, dengan serta merta berubahlah air muka Sayyidatuna Fatimah, lantas dia pun bertanya kepada Baginda sambil menangis : "Siapakah perempuan itu wahai ayahanda, macamana halnya dan bagaimana pula amal ibadatnya sehingga dia terlebih dahulu masuk syurga daripada anakanda ? Ayahanda ! khabarkanlah di mana dia sekarang, anakanda mahu jumpa dia." Tanya Sayyidatuna Fatimah ingin tahu.
Lalu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam menjelaskan : "Dia adalah seorang wanita yang miskin, tinggal di sebuah kampung kawasan pedalaman hampir Jabal Uhud, kira-kira 3 batu dari Kota Madinah. Nama Perempuan itu ialah Muthi'ah.
Tanpa membuang masa, setelah mendapat keizinan daripada ayahandanya, Sayyidatuna Fatimah pun keluar mencari perempuan yang dikatakan oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam itu.
Setelah bertanyakan penduduk setempat, banyak yang tidak tahu dan mengenali perempuan yang bernama Muthi'ah ini. Dia bukan perempuan yang terkenal. Masing-masing mengatakan tidak pernah mendengar dan tidak mengetahui hal perempuan ini.
Setelah berbagai usaha mencarinya, dengan izin Allah jua akhirnya berjumpalah Sayyidatuna Fatimah dengan rumah perempuan yang dimaksudkan itu. Rumah Muthi'ah berada di kawasan pedalaman, jauh daripada orang. Mungkin sebab itulah susah mencarinya.
Sebaik saja memberi salam dan beberapa kali mengetuk pintu beliau mendapati hanya suara saja kedengaran menjawab salam dari dalam sedangkan orangnya belum juga muncul. Setelah agak lama Sayyidatuna fatimah menunggu, penghuni rumah itu pun menunjukkan mukanya melalui jendela, sambil bertanya siapakah gerangan di luar dan apakah hajat kedatangannya tanpa mempelawa dan menjemput tetamunya itu masuk. Mereka hanya bercakap melalui jendela sahaja.
Sayyidatuna Fatimah memperkenalkan dirinya : "Saya Sayyidatuna Fatimah binti Rasulullah, datang kemari kerana hendak berjumpa dan berkenalan dengan kamu." Mendengar tetamu yang datang itu ialah anakanda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, maka perempuan itu menjawab : "Terima kasihlah kamu datang ke rumah saya, tetapi saya tidak dapat membenarkan kamu masuk kerana suami saya tidak ada di rumah. Nanti saya minta izin dulu apabila dia balik dari bekerja. Sila datang esok hari sajalah."
Dengan langkah yang amat berat sekali Sayyidatuna Fatimah pun pulang dengan perasaan yang sangat hampa kerana tidak dapat masuk dan berbual panjang dengan perempuan itu untuk mencungkil rahsia amalan-amalannya.
Keesokan harinya, Sayyidatuna Fatimah datang lagi bersama-sama anaknya Hasan. Sebaik sahaja sampai dia memberi salam dan perempuan itu pun terus membuka pintu kerana dia sudah mengetahui tetamu yang datang itu ialah Sayyidatuna Fatimah. Apabila hendak mempersilakan masuk, tiba-tiba dia terlihat ada seorang budak bersama-sama Sayyidatuna Fatimah lalu dia bertanya : " Fatimah, ini siapa ?"
"Ini anak saya, Hasan," sahut Sayyidatuna Fatimah. Perempuan itu pun berkata : " Saya dukacita Fatimah, kerana saya belum minta izin dari suami saya, yang dibenarkan hanyalah Sayyidatuna Fatimah seorang sahaja, saya kenalah minta izin dahulu dari suami lagi, silalah datang esok hari saja."
Sayyidatuna Fatimah jadi serba salah. Hendak balik jauh, hendak ditinggalkan anaknya diluar, takut dia menangis. Hendak dibawa masuk belum mendapat keizinan. Akhirnya setelah berfikir panjang lebar, dia pun ambil keputusan untuk balik saja.
Keesokan harinya, Sayyidatuna Fatimah datang pula dengan membawa kedua-dua anaknya iaitu Hasan dan Husin. Setelah memberi salam, mereka segera disambut oleh penghuni rumah itu.
"Itu Fatimah dengan Hasan ke?" Tanya perempuan itu minta kepastian.
Jawab Sayyidatuna Fatimah : "Tidak, kami datang bertiga kerana anak saya yang satu ini (Husin) mahu ikut juga."
Apabila jendela dibuka perempuan itu mendapati ternyata benarlah Sayyidatina Fatimah membawa kedua-dua orang anaknya Hasan bin Husin.
"Fatimah, saya rasa dukacita lagi kerana budak yang satu ini (Husin) belum saya minta izin dari suami saya, harap maaf, sila datang esok hari sajalah," tegas perempuan itu. Mendengarkan kata-kata itu, Sayyidatuna Fatimah tersipu-sipu menyahut: "Baiklah kalau begitu esok saya datang lagi kemari."
Dalam perjalanan pulang ke rumahnya, hatinya berkata-kata : "Heh, perempuan ini takut sangat akan suaminya, sehingga perkara yang sekecil begini pun dia tidak berani melakukannya. Pada hal jika dia benarkan aku masuk, takkanlah suaminya marah. Tak usahlah pandang aku ini siapa, anak siapa dan dua budak ini cucu siapa, pandanglah (hormatilah) aku ini sebagai tetamu yang datang dari jauh saja sudahlah, " bisik hatinya kesal.
Dalam pada itu sebaik sahaja suaminya pulang, perempuan itu pun memberitahu tentang budak yang satu lagi ini. Suaminya terkejut dan hairan sambil berkata : "Kenapa engkau tergamak begitu sekali. Bukankah Sayyidatuna Fatimah itu puteri Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam) dan dua orang anaknya itu adalah cucu Baginda. Lebih daripada itu pun engkau patut benarkan kerana keselamatan kita berdua kelak bergantung kepada keredhaannya (Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam). Jangan sekali-kali engkau buat seperti itu lagi. Jika mereka datang lagi ke mari dengan membawa apa pun dan siapa pun, terimalah dengan baik, dan engkau hormatilah mereka semua sebagaimana yang patut bagi darjat mereka."
Sahut perempuan itu : "Baiklah, tetapi ampunkanlah kesalahan saya kerana saya mengerti bahawa apa yang saya tahu keselamatan diri saya juga bergantung pada keredhaan suamiku. Oleh itu, saya tidak berani membuat perkara yang akan membawa kemarahan atau menyakiti hati suamiku."
"Terima kasih," sahut suaminya. "Tapi takkanlah pula sampai engkau tidak menerima tetamu perempuan melainkan dengan izin aku, kerana menghormati tetamu perempuan itu wajib pada adat dan agama kita."
Pada hari berikutnya, Sayyidatuna Fatimah pun datang sebagaimana yang dijanjikan dengan membawa dua orang puteranya itu. Setelah dijemput masuk dan dijamu dengan sedikit buah kurma dan air secara ala kadar mengikut adat waktu itu, mereka pun berkenalanlah serta memulakan perbualan.
Pertanyaan Sayyidatuna Fatimah banyak berkisar mengenai rahsia amal ibadat yang menjadi penyebab Muthi'ah menjadi wanita pertama masuk syurga menurut ayahandanya. Setelah memperkenalkan dirinya, Muthi'ah menjawab semua pertanyaan Sayyidatuna Fatimah dengan ikhlas. Katanya: "Tingkah laku saya sebenarnya biasa sahaja tidak ada yang istimewa, amal ibadat pun biasa saja malah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lebih mengetahui akan segalanya, dan saya hanya menuruti apa yang dianjurkan oleh Baginda dalam hal kewajiban saya sebagai isteri. Antaranya:
  • Saya tidak boleh meninggalkan rumah jika suami saya keluar bekerja.
  • Saya tidak boleh menerima tamu (terutama lelaki) jika tidak ada keizinan dari suami
  • Saya tidak akan berkeluh-kesah jika suami tidak mempunyai harta.
  • Saya berusaha agar suami saya senang dan cinta kepada saya.
  • Saya tidak cepat-cepat cemburu.
    Saling mengerti dan menghargai antara kami berdua.


  • Soal berhias dan berdandan, menurut Mith'iah dia hanya mengutamakan kecantikannya untuk suaminya yang tersayang saja, bukan untuk ditonton dan diperagakan kepada orang lain. Setengah riwayat menyatakan Muth'iah mundar mandir berjalan ke pintu rumahnya sambil memandang ke jalan seolah-olah sedang menantikan kedatangan seseorang. Dia seolah-olah tidak begitu mempedulikan Sayyidatuna Fatimah. Di tangannya terdapat tongkat dan sebuah bekas berisi air, manakala tangan sebelah lagi mengangkat hujung kainnya sehingga menampakkan betis dan sedikit bahagian pehanya serta mukanya manis dengan senyuman.
    Melihat keadaan hal Muth'iah yang agak aneh itu, Sayyidatuna Fatimah merasa gelisah kerana dia anak beranak tidak dipedulikan dan kurang mendapat layanan. Lantas Sayyidatuna Fatimah bertanya: "Kenapa jadi begini?" Sahut Muth'iah : "Fatimah, harap maafkan saya kerana saya sedang menantikan suami saya yang akan pulang dari kerja."
    "Buat apa dengan bekas air itu?" Tanya Sayyidatuna Fatimah. Jawab Muthi'ah jujur : "Kiranya suami saya dahaga pada ketika dia balik dari kerja, saya akan segera menghulur air ini kepadanya supaya tidak terlambat. Jika terlambat nanti dia akan marah kepada saya."
    Sayyidatuna Fatimah bertanya lagi : "Buat apa dengan rotan ini ?" Jawab Muthi'ah : "Jika suami saya marah atau kurang layanan dari saya, mudahlah dia memukul saya dengan rotan ini."
    Kemudian Sayyidatuna Fatimah bertanya pula : "Kenapa pula engkau selak kain engkau sehingga menampakkan peha, bukankah itu tidak elok dan haram ?" Maka Muthi'ah menjawab : "Jika dia berkehendakkan saya, lalu dia pandang saya begini tentulah akan menambahkan nafsu syahwatnya dan memudahkan akan maksud hajatnya itu."
    Sebaik saja habis berkenalan dan berbual dengan Muthi'ah, Sayyidatuna Fatimah termenung sejenak lalu berkata di dalam hatinya : "Jika beginilah kelakukan dan perangainya terhadap suaminya, tidak dapatlah aku mengikutnya. Wajarlah menurut ayahandaku dia terlebih dahulu masuk syurga daripada aku. Ternyata benarlah bahawa keselamatan wanita yang telah bersuami itu bergantung kepada ketaatan dan keredhaan suami terhadapnya."
    Fatimah minta diri. Dia terus pulang mengadap ayahandanya dan menceritakan segala apa yang berlaku.
    "Wahai anakandaku, itulah rahsianya mengapa Muthi'ah wanita pertama masuk syurga." Kata Baginda kepada Siti Fatimah.
    Di dalam keadaan muram dan seakan-akan merajuk dia berkata : "Tetapi anakanda tidak dapat meniru perangai dan amalan Muthi'ah."
    Melihat telatah dan rintihan puterinya itu, Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam tersenyum sambil bersabda : "Wahai anakandaku, janganlah anakanda susah hati, perempuan yang anakanda jumpa itu (Muthi'ah) ialah perempuan yang akan memimpin dan memegang tali tunggangan anakanda tatkala anakanda masuk syurga nanti. Jadi dialah yang akan masuk terlebih dahulu daripada anakanda." Setelah mendengar penjelasan ayahandanya itu, barulah nampak Sayyidatuna Fatimah mulai gembira dan tersenyum.
    Begitulah ganjaran yang Allah Subhanahu Wataala berikan kepada Muthi'ah, semoga amalan wanita terpuji dan terbaik ini menjadi ikutan kita semua.. InsyaAllah, jika diberi peluang untuk berumahtangga, inilah Role Model yang terbaik. ^_^



  • No comments:

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...